Saturday, June 3, 2017

Kenangan di Manhattan



BAB 1   Musim Dingin 2011


Suasana terasa begitu asing sebaik sahaja kapal terbang MAS Boeing 747 yang sarat dengan 300 penumpang itu melalui ruang udara Amerika Syarikat. Dari celah tingkap pesawat ku lihat di sana-sini muka buminya bergunung-ganang, ada yang kemerahan dan ada yang dibaluti keputihan salji.  Semuanya kelihatan gersang apabila melalui ruang udara negeri California, salah satu dari 50 negeri di Amerika Syarikat itu. Sewaktu melihat muka bumi Amerika yang sedemikian asing, aku rasa teruja seolah-olah tidak percaya aku sedang berada di ruang angkasa, di dalam sebuah kapal terbang yang tinggi beribu-ribu batu melihat ke bawah pada saat itu. Biarpun begitu pemandangannya sangat indah, dan sukar hendak digambarkan dengan kata-kata. Keadaannya, memang berbeza sungguh dengan persekitaran Malaysia yang bukit-bukaunya penuh menghijau sewaktu kapalterbang MAS berlepas dari KLIA 14 jam yang lalu. Mengingatkan aku pada kebesaran pencipta alam ini Yang Maha Berkuasa dalam menciptakan pemandangan seindah itu.

Pengumuman dari Juruterbang menyentak lamunan, mengingatkan bahawa kapal terbang akan mendarat dalam 30 minit lagi. Isyarat talipinggang keledar telah pun menyala di panel atas tempat duduk ku.  Pada masa yang sama, kedinginan sudahpun mula terasa terutamanya pada kaki ku biarpun pesawat belum lagi mendarat dan hanya baru sahaja memasuki ruang udara Amerika Syarikat. Aku menarik rapat-rapat selimut yang diberi oleh pramugari sebaik sahaja kami berlepas dari Narita Airport tadi. Namun kedinginan masih terasa keras begitu mengigit hingga ke tulang. Terasa sedikit menggigil.

Tidak ku sangka cuaca di atas ruang udara pun sudah begitu sejuk. Lebih sejuk dari ruang dingin beku di dalam peti sejuk di rumahku rasanya. Teringat dulu aku selalu bermain dengan ais dalam peti ais itu apabila frostnya berlebihan kadang-kadang. Peti ais ku jenis lama maka terpaksalah dikorek ais-ais itu semua apabila dah berlebihan sehingga pintu freezer tak boleh ditutup rapat. Pada waktu itu mulalah aku berangan bermain salji , melempar ais tersebut pada adik-adik. Apa lagi selepas itu ibuku mengejar kami semua dengan batang pokok pudding sebab dapur jadi basah dengan ais berterabur di atas lantai apabila adik-adik melempar padaku pula. Sangat manis kenangan itu. Kenangan yang membuatku tersenyum sendiri. Aku mengelamun seketika mengingat semua kenangan manis berada di kampung. Namun, kehangatan ingatan pada kampung halaman itu tidak dapat menghalau kesejukan yang ku rasa.

Walaupun memakai jeans dan sweater bulu roma masih lagi meremang dan sekali-sekala gigi ku berlaga di antara satu sama lain. Menyesal pula aku kerana tidak memakai seluar panas di dalam jeansku semasa kami berhenti sebentar di Narita Airport 7 jam yang lepas walapun berkali-kali diingatkan oleh rakanku Jun yang sentiasa bersedia dalam banyak perkara. Sangkaku jeans sudah memadai kerana tidak tergambar pula begini ekstrem rasa dinginnya. Dan sekarang aku menyesal kerana tidak mengikut saranan Jun itu. Sebentar tadi juruterbang baharu sahaja mengumumkan suhunya yang mencecah ke tahap 5 darjah celcius. Sukar untuk dipercayai cuaca di luar amat sejuk  kerana cahaya matahari bersinar garang sehingga cahayanya yang silau masuk ke dalam pesawat apabila kapal terbang sedikit berpusing dan mula turun ke altitude yang lebih rendah.

Tiba-tiba Jun di sebelah memegang tanganku. Aku memegang kembali dengan kemas. Tindakannya melegakan aku yang kesejukan. Terasa hangat sedikit. “Sejuk betul lah,” komplenku.
“Betul lah. Ni baru dalam plane…belum turun lagi. Hmm jangan beku kita ni sudah bila sampai kat airport nanti,” sambut Jun.
“Nantilah bila mendarat nanti aku nak turunkan jaket dari hand luggage. Tak larat la aku.” ujarku dicelah ketapan gigi. Jun hanya mengangguk setuju.

Kesejukan musim dingin yang tidak pernah digambarkan menyambut kami sebaik sahaja keluar dari perut kapalterbang dan berjalan melalui terowong yang menghubungkan kapal terbang dan Balai ketibaan LA Airport yang gah itu. Kalau tadi gigiku berlaga sekarang sejuknya terasa lebih hebat. Aku menarik jaketku rapat-rapat. Mujurlah aku telahpun memakai jaket tebal. Terasa lega dan hangat apabila jaket bulu pemberian makcikku itu membaluti tubuhku. Kulihat bukan aku sahaja yang berbuat demikian,  rakan-rakan yang lain pun begitu juga. Masing-masing menarik kot tebal ke dada rapat-rapat sambil memegang hand luggage. Tangan dan muka yang terdedah terasa kebas dek hawa cuaca yang sejuk.

Dan waktu itu apabila aku melihat rakan-rakan yang lain aku dapat melihat riak wajah masing-masing yang pelbagai. Ada yang gembira, ada yang lega dan ada yang mula dibaluti kesuraman. Mungkin sudahpun teringat keluarga dan tersayang di tanahair.  Apabila terfikirkan keluarga aku mula merasa sedikit kerinduan. Walaupun terasa kesedihan di sudut hati meninggalkan keluarga dan entah bila akan berjumpa hatiku terasa penuh semangat yang membara dan optimis aku akan dapat pulang ke tanah air dengan segulung cita-cita dalam genggaman. Aku tahu aku boleh hadapi apa jua tapi pada saat itu dalam keadaan yang begitu asing, aku benar-benar mula rindukan keluargaku.
Masihku ingat wajah ayah dan ibu yang muram mengiringi pemergianku. Begitu juga dengan adik-adikku. Airmata yang bergenang di mata terasa mahu mengalir tetapi segera ku seka dengan tangan. Walau sedih bagaimana pun aku tidak boleh terlalu memikirkannya. Ada banyak perkara yang perlu kulalui dan aku tidak boleh lemah hati. Terngiang-ngiang kata-kata nasihat dan harapan keluarga yang dikirimkan padaku sewaktu di Airport.
“Belajar sungguh-sungguh hingga berjaya. Jaga nama baik keluarga. Kalau ditempat orang mesti pandai jaga diri.” Kata-kata ayahku itu terakam dalam mindaku. Ayah bukan jenis orang yang mudah menunjukkan perasaannya tetapi hari itu apabila dia mengeluarkan kata-kata tersebut matanya merah. Aku sangat terharu. Ayah memang sayangkan aku. Ayah sebenarnya sedih dengan pemergian ku.
“Kami semua harapkan kau Syaz untuk jadi contoh dan juga memperbaiki nasib keluarga. Jangan lupa pesan kami nak,” ujar ibu pula disebalik sedu-sedannya.  Aku peluk ibu dan ayah sambil mengenggam kata-kata mereka dalam jiwaku. “Mak dan ayah, Syaz tak akan lupa. Doakan kejayaan Syaz. Doakan Syaz selamat di sana nanti.”
Kata-kata Jun membawa aku keluar dari lamunan.

“Akhirnya lega kita dah sampai....” ujar Jun. Aku mengangguk cuba membuang perasaan sedih itu jauh-jauh. Memahami  apa yang dia maksudkan. Maklumlah terpaksa duduk selama 14 jam sehingga terasa tebal punggung dan kaki. Bosan dan cemas berjam-jam dalam perut kapalterbang merentas beribu-ribu batu lautan Pasifik  untuk ke negara Uncle Sam itu. Aku juga turut tersenyum puas kerana sedikit gembira bahawa perjalanan kami selamat dan aku bakal menempuh sesuatu yang baru dalam hidupku.